Cetusan hati, ilham jiwa, luahan rasa, tarian jari, sulaman kata, tersebut cerita..

Wednesday, 16 November 2011

Contoh Surat Kiriman SPM

Soalan: Tuliskan sepucuk surat aduan kepada LHDN, dan disalin kepada Biro Pengaduan yang berkenaan mengenai ketidakcekapan LHDN dalam mentaksir cukai tahunan individu.

Jawapan:


16 November 2011

Ketua Pengarah
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Cawangan Wangsa Maju
Tingkat G-M & 6-10 Menara Kausar
Jalan 3/27A Seksyen 1
Bandar Baru Wangsa Maju
53300 Kuala Lumpur
Fax: 03-41427022

Ketua Komunikasi Korporat
Unit Komunikasi Korporat

Aras 2 Perbendaharaan 2
Kompleks Kementerian Kewangan
No 7 Persiaran Perdana Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62592 Putrajaya
pro@treasury.gov.my

KetuaPengarah
Biro Pengaduan Awam
Pejabat Perdana Menteri
Blok Utama Bangunan Perdana Putra
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya
unitpro@pcb.gov.my

Tuan,

TAKSIRAN CUKAI PENDAPATAN TAHUN TAKSIRAN 2006

Merujuk kepada perkara di atas, saya Angah (K/P: xxxxxx-0x-xxxx), No. Cukai Pendapatan: xxxxxxxxxxx) ingin membuat aduan mengenai kelemahan yang terdapat di dalam sistem LHDN berkenaan taksiran cukai pendapatan tahunan bagi individu.

2. Pada bulan Mac 2011, saya telah mendapat Notis Taksiran bagi Tahun Taksiran 2005 (Rujuk Lampiran 1). Sehubungan dengan itu, saya telah pergi ke LHDN Cawangan Wangsa Maju untuk memastikan tindakan yang perlu diambil serta menyemak status cukai untuk tahun-tahun yang lain. Saya telah berbincang dengan salah seorang pegawai di kaunter dan apabila fail saya dirujuk, saya diberitahu bahawa tiada cukai lain yang tertunggak. Setelah berpuashati dengan penerangan yang diberikan, pada 6 April 2011 saya telah menghantar surat rayuan beserta dokumen sokongan yang lain (Rujuk Lampiran 2). Menurut taksiran yang dibuat, saya perlu membayar tambahan cukai sebanyak RM611.00 (Rujuk Lampiran 3).

3. Untuk Tahun Taksiran 2010, saya mempunyai lebihan kredit sebanyak RMx,xxx.xx dan di dalam surat LHDN bertarikh 28 April 2011 (Rujuk Lampiran 4), saya dimaklumkan bahawa sekiranya saya mahu lebihan tersebut dibayar balik, saya perlu menghubungi LHDN. Tiada sebab yang diberikan berkenaan perkara tersebut. Sekiranya benar bahawa “rakyat didahulukan”, maka saya pasti yang LHDN akan memastikan yang saya sebagai rakyat Malaysia diberitahu sebab yang membolehkan LHDN menyimpan lebihan kredit cukai saya di dalam akaun. Saya berminat untuk mengetahui adakah saya akan mendapat “faedah” daripada simpanan saya itu? Oleh kerana rakyat dikenakan penalti untuk pembayaran cukai lewat, seadilnya kerajaan membayar penalti kepada rakyat yang disimpan lebihan cukainya.

4. Di dalam surat yang sama (Rujuk Lampiran 4), saya juga diminta untuk mengembalikan Borang Nyata untuk Tahun 2006 untuk “mengemaskinikan taksiran cukai bagi tahun berkenaan”. Adakah ini bermakna LHDN mengambil masa 4 ke 5 tahun untuk mengemaskinikan taksiran cukai tahunan?

5. Oleh kerana saya tidak berbuat seperti yang diminta oleh LHDN dalam perkara 4 di atas, LHDN telah menghantar Notis Taksiran bagi Tahun Taksiran 2006 pada bulan Oktober yang lalu (Rujuk Lampiran 5), dan sekali lagi saya telah diminta menghantar surat rayuan sekiranya saya tidak bersetuju dengan taksiran tersebut. Di dalam Notis Taksiran tersebut, sama seperti notis yang saya terima dalam perkara 2 di atas, tiada tolakan PCB yang dinyatakan di situ akan tetapi terdapat “Penalti dikenakan di bawah subseksyen 112(3)” sebanyak RM419.40 kerana saya “gagal mengemukakan Borang Nyata dalam tempoh ditetapkan”. Jumlah cukai yang perlu dibayar menurut taksiran LHDN, termasuk penalti ialah sebanyak RMx,xxx.xx. Di dalam surat LHDN yang merujuk kepada perkara 4 di atas, tiada dinyatakan bila tarikh akhir untuk saya menghantar Borang Nyata tersebut. Adakah itu silap saya yang perlu dikenakan penalti?

6. Lanjutan kepada perkara 5 di atas, setahu saya, pada setiap bulan, majikan saya membuat penolakan ke atas gaji saya dan saya pasti bahawa tolakan tersebut dihantar kepada LHDN. Tidakkah LHDN mempunyai rekod tersebut dan seterusnya boleh menilai sebanyak mana cukai yang telah dibayar? Berdasarkan Borang EA saya untuk tahun 2006 (Rujuk Lampiran 6), PCB yang dibuat adalah sebanyak RMx,xxx.xx. Sekiranya saya mengabaikan tolakan lain yang berhak buat saya, jumlah yang saya perlu bayar hanyalah sebanyak RM21.40. Seandainya tidak termasuk penalti itu, saya mempunyai lebihan kredit sebanyak RM398.00. Mengikut logik saya, sekiranya pihak LHDN menyimpan rekod dengan betul, termasuk mengambil kira PCB yang telah dibayar dan seterusnya telah dimanfaatkan untuk kemajuan negara, LHDN tidak perlu menghubungi saya untuk menuntut cukai yang telah pun dibayar.

7. Sebagai seorang pekerja swasta, saya tidak mempunyai banyak masa terluang dan cuti tahunan untuk menyemak dokumen-dokumen berkaitan cukai yang lama, dan melawat bangunan LHDN bagi memastikan tanggungjawab yang telah saya tunaikan, diambilkira sewajarnya oleh LHDN. Oleh itu, diharap kiranya pihak LHDN dan pihak BPA menimbangkan aduan saya ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya selari dengan dasar kerajaan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sekian dan tindakan serta maklumbalas yang pantas dari pihak tuan amat saya hargai untuk kepentingan rakyat dan seterusnya negara.

“Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Yang benar,



Angah
Mobile number
Email address



Ehem.. now kita tunggu je yek! Wa hati hangat. Mentang-mentang wa rakyat marhain, leh diperlekeh-lekehkan. If the answer is not acceptable to me, I will take this to Najib. I wanted to take it to Najib straight away but upon reading the Bureau's responses to other complaints, it looks promising. We'll see..

Angah

No comments: