Hari ni, 29 Februari 2008. Sungguh menarik tarikh itu. Jadi saya merasakan yang saya perlu menulis sesuatu di blog ini sempena tarikh hari ini yang datang hanya sekali dalam masa 4 tahun. Akan tetapi, malangnya, tiada apa yang ingin saya tuliskan. Sob. Sob. Sob. Saya ketandusan idea yang indah untuk ditulis.
Oh, saya tahu. Saya sudah tahu. Saya ingin mewarwarkan bahawasanya semalam saya telah berjaya membuat penempahan tiket kapalterbang ala bas ke Kota Bharu untuk perjalanan pada bulan April nanti. Perjalanan umpama rombongan Cik Kiah. Tiga generasi akan bergandingan berjalan dengan riang-rianya sambil mendukung anak-anak kecil di bandar Kota Bharu. Sungguh saya tidak sabar menantikan harinya itu!
Tahun ini umpama tahun melawat dalam negeri untuk saya. Pada pertengahan Januari lalu, saya telah pergi ke Kota Kinabalu dan Labuan. Sama seperti ke Kota Bharu nanti, saya telah menempah tiket kapalterbang ala bas pada bulan September tahun lepas untuk perjalanan tersebut. Suami saya sungguh gembira dengan lawatan tersebut hingga beliau ingin pergi lagi ke negeri di bawah bayu itu. Katanya, tidak puas dengan lawatan itu kerana dia tidak berkesempatan untuk melawat spesis haiwan yang kononnya hampir sama dengan manusia iaitu orang utan. Bezanya, orang utan tidak boleh mengundi, merempit, mencarut, membeli rokok dan sebagainya.
Oleh kerana itu, apabila syarikat kapalterbang ala bas itu membuat promosi baru-baru ini dengan tambang hanya RM5 ke Kota Kinabalu, saya telah membelinya lagi untuk penerbangan pada bulan Julai nanti. Wah, lama lagi saya perlu menunggu sebelum boleh berjumpa dengan orang utan.
Akan tetapi, sebelum itu, saya telah cuba menggoda suami saya untuk pergi bercuti ke negara jiran kita, Indonesia dengan tiket penerbangan promosi itu. Saya terlalu ingin ke bandaraya Jakarta yang penuh sesak dengan manusia itu. Kata seseorang yang saya dengar di radio tempohari, kesesakan bandaraya adalah tanda kemajuan. Itulah sebabnya Kuala Lumpur sesak. Begitu juga India. Sungguh maju negara itu tiada tandingan sekiranya kesesakan adalah lambang kemajuan. Oh, saya terpesong seketika dari cerita asal saya. Salahkan orang di radio itu.
Sebenarnya, saya terlalu ingin ke Jakarta kerana saya mendengarkan cerita tukang jahit saya yang mengatakan sulaman tangan ke atas baju kurung yang dihasilkan oleh orang Jakarta amat halus dan murah jika dibandingkan dengan harga di sini. Saya amat teruja mendengar cerita itu dan ingin sekali pergi melihatnya sendiri sambil memborong. Tetapi suami saya tidak bersetuju. Dia sungguh sombong. Dia sungguh berlagak. Saya ingin merajuk dengan kesombongan dan keberlagakan suami saya itu, tapi saya letakkan tepi dulu rajuk itu. Kata saya di dalam hati, tidak apa.. saya akan pastikan yang saya mendapat teman untuk menemani saya ke Jakarta.
Keesokan harinya, ketika saya melawat tag yang telah lama saya tidak lawati dan mengutarakan semangat saya ingin ke Jakarta kepada teman setia di tag iaitu Cik Wok Ipoh, Cik Wok Ipoh memberitahu yang sebenarnya dia bersama beberapa Cik Wok yang lain iaitu Cik Wok Bangi, Cik Wok Singapura, Cik Wok Malaysia-Singapura, Cik Wok Kajang dan entah siapa lagi telah membuat perancangan untuk ke Bandung. Wah! Saya teruja mendengarnya. Walaupun saya tidak diajak dalam perancangan asal, tapi saya telah mengajakkan diri saya sendiri dan terus menyibukkan diri untuk menempah tiket ke Bandung. Saya sungguh gembira tidak terhingga. Walaupun saya tidak berjaya ke Jakarta, tapi saya tetap akan ke negara jiran kita yang maju itu nanti pada bulan Ogos nanti. Oh, silap penyataan saya di atas tadi.. tahun ini bukan sahaja tahun melawat dalam negeri, tetapi juga tahun melawat negara jiran. Maafkan kesilapan saya tadi.
Saya hanya memberitahu suami saya akan perancangan tersebut setelah tiket dibeli. Dia tidak ada apa-apa perasaan kerana sememangnya dia yang tidak mahu pergi. Tetapi sebab mungkin dia cemburu, dia menyuruh saya membeli tiket ke Kota Kinabalu yang telah saya ceritakan di perenggan atas, dan perjalanan ke Kota Kinabalu hendaklah dibuat sebelum perjalanan saya ke Bandung. Saya tidak tahu apa tujuannya menyuruh saya berbuat begitu. Andaian saya, mungkin kerana dia cemburu. Tetapi mungkin juga dia ingin saya bazirkan duit saya di Kota Kinabalu dahulu, makanya kuranglah duit yang akan saya bazirkan di Bandung nanti. Oh dasar sungguh!
Dan kelmarin, ketika bersembang dengan Cik Wok Labuan, dia telah memberitahu saya tentang promosi tambang murah lagi oleh syarikat penerbangan yang sama. Kali ini, lebih murah dan tarikh penerbangan adalah lebih awal dari promosi yang sebelumnya. Oh dasar sungguh amat sangat tidak terperi! Saya terus ke lawan web syarikat tersebut dan mencari tambang ke Kota Bharu. Saya memang sudah lama ingin menghabiskan wang saya di Pasar Siti Khadijah itu tapi belum kesampaian.
Akhirnya, semalam saya telah berjaya membeli tiket tersebut, bersama tiket untuk lapan orang yang lain. Mereka adalah suami saya, emak saya, bapa saya, adik saya, suami adik saya, anak adik saya, dan dua orang anak adik saya yang tidak akan turut serta di dalam rombongan ini kerana ketika itu dia akan menjalani sesi berpantang. Dasar sungguh pos anak cara begini. Sekarang, saya perlu memikirkan pengangkutan darat ketika di sana. Kata suami saya, mungkin menyewa van adalah jalan yang terbaik kerana dia tidak sanggup untuk berkonvoi beberapa kereta. Oh.
Untuk rujukan saya di masa hadapan, di sini saya ingin menuliskan kerugian yang saya telah alami:
Tiket pergi balik KL - KK: RM 150.00
Tiket pergi balik KL - Bandung: RM 187.10
Tiket pergi balik KL - KB: RM 89.58
Perasaan saya: Tiada harga!!! (eeerrr.. kata orang putih, priceless..)
Sekian catatan saya untuk 29 Februari 2008.
Angah
4 comments:
macam pelik jer bunyinya ko guna "saya" nih Ngah. Ko dah mengandung ker?
Salam Ngah,
Kita suka sgt ngan cara penulisan dan pengolahan cerita yg telah dicoretkan dalm N3 kali ini. Memang betui kata2 Bro Joe, agak pelik sedikit apabila berbahasa mengunakan perkatan "Saya" tetapi sesungguhnya ianya telah berjaya menceriakan hari saya yg bermula dengan suasana suram, geram, marah dan bz tanpa noktah ini. Makasih Ngah.
Saya berasa sungguh kasihan kepada cik kiah keran terpaksa mengikut semua rombongan tak kira ke mana....tidakkah cik kiah terasa penat he..he
az
bagaimana pula dgn rombongan ke cherating itu?
weh, samala aku pun kat ofis ni. menggalas beban yg ditinggalkan org lain. penat kepala otak. depan belakang kiri kanan nak kena tadah.
Post a Comment